
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyempurnakan Majlis Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau turut beramah mesra serta mengucapkan selamat jalan kepada 132 jemaah dari Sarawak yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam ini.
Setibanya di KLIA, para jemaah akan digabungkan dengan bakal haji dari Lembah Klang sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci menaiki penerbangan khas Amal by Malaysia Airlines.


Kumpulan berkenaan dijadual berlepas menaiki pesawat MH8094 pada 12.05 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada 3.50 pagi waktu Arab Saudi pada hari yang sama.
Rombongan ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan jemaah haji Sarawak yang terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini.
Penerbangan ke Tanah Suci telah bermula dari 18 April hingga 20 Mei 2026, manakala penerbangan pulang dijadual berlangsung dari 4 hingga 30 Jun 2026.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim serta wakil pengurusan Tabung Haji Negeri.
Oleh Norman B