SARIKEI: Sejumlah RM528,900 telah diagihkan kepada seramai 1,253 pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)N41 Kuala Rajang sejak 2011 hingga 2019.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata, sumbangan dana ini adalah bertujuan meringankan beban keluarga pelajar.
“Tahun lalu (2019) sahaja sebanyak RM32,200 disumbangkan kepada seramai 80 pelajar yang cemerlang dan melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
“Pelajar menerima sebanyak RM400 bagi yang melanjutkan pengajian peringkat diploma, RM500 (ijazah) dan RM300 (pengajian jangka pendek selama enam bulan atau lebih),” katanya.
Datu Len berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas tinjauan beliau ke surau baharu Sekolah Kebangsaan Abang Galau Rajang, Isnin lalu.
Katanya, untuk rekod, jumlah sumbangan adalah sebanyak RM10,600 untuk 25 orang pelajar pada 2011, RM27,300 (68 pelajar, 2012), RM47,700 (106 pelajar, 2013), RM107,700 (249 pelajar, 2014), RM60,400 (138 pelajar, 2015), RM74,900 (190 pelajar, 2016), RM102,600 (241 pelajar, 2017), RM65,500 (156 pelajar, 2018) dan RM32,200 (80 pelajar, 2019).
“Sebahagian besar penerima terdiri dari keluarga berpendapatan rendah serta sederhana yang memerlukan suntikan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.
“Inisiatif ini adalah salah satu dari komitmen saya bagi membantu pelajar cemerlang dan kurang bernasib baik untuk mendaftar di IPT sekaligus membela nasib mereka melalui pendidikan,” ujarnya.
Jelasnya, sumbangan tersebut disediakan kerana beliau sedar pelajar-pelajar ini berdepan masalah melanjutkan pengajian kerana perlu menanggung kos seperti penerbangan, yuran pendaftaran dan sara hidup.