Program kelestarian alam sekitar diperluas kepada 18 sekolah

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, Stephen Chin (empat dari kanan), bersama Pengarah Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Milk Industries Berhad, Ezmir Hazizi Azhar (tiga dari kiri), serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan pihak berkuasa tempatan pada pelancaran Program Kelestarian Alam Sekitar 2026, hari ini.

KUCHING: Program Kelestarian Alam Sekitar 2026 diperluas kepada 18 sekolah di Kuching, Padawan dan Serian menerusi kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd.

Program pendidikan alam sekitar itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penggunaan secara bertanggungjawab, pengasingan sisa serta pengumpulan dan kitar semula kotak minuman terpakai (UBC).

Menerusi program berkenaan, pelajar diajar kaedah menyediakan kotak minuman terpakai untuk dikumpulkan dan dikitar semula dengan mengosongkan, membilas secara ringan, mengeringkan serta meratakan kotak sebelum dikumpulkan.

Hampir 3,000 pelajar daripada sekolah terlibat kini menerima pek susu Dutch Lady menerusi Program Susu Sekolah yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia.

PERTUKARAN memorandum kerjasama (MOC) antara Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dan Dutch Lady Milk Industries Berhad disaksikan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada pelancaran Program Kelestarian Alam Sekitar 2026.

Program berkenaan merupakan tahun kedua kerjasama kedua-dua syarikat selepas projek perintis melibatkan lapan sekolah di Kuching dan Padawan tahun lalu.

Perluasan tahun ini menyaksikan Serian turut dilibatkan sebagai daerah tambahan, sekali gus membolehkan lebih ramai guru dan pelajar menyertai program berkenaan.

Selain pek susu yang diagihkan menerusi Program Susu Sekolah, kotak minuman Dutch Lady lain turut boleh dikumpulkan untuk dikitar semula bagi membolehkan lebih ramai warga sekolah mengambil bahagian.

Sementara itu, setiap sekolah menerima kit permulaan yang mengandungi kotak pengumpulan, tong kitar semula, beg plastik, bahan pendidikan serta poster mengenai kaedah penyediaan kotak minuman terpakai untuk dikitar semula.

Komponen utama program ialah Pertandingan Pengumpulan dan Upcycle UBC Antara Sekolah Dutch Lady yang menyaksikan sekolah terlibat mengumpulkan kotak minuman terpakai sebelum mengubahnya menjadi produk kreatif.

Pemenang pertandingan akan menerima hadiah wang tunai berjumlah lebih RM12,000 selain trofi dan sijil.

Majlis pelancaran turut disusuli taklimat teknikal kepada guru serta pertukaran memorandum kerjasama (MOC) antara Dutch Lady Malaysia dan Trienekens.

Oleh Adi Safaraman