Google bakal uji cip AI di angkasa lepas

Facebook
WhatsApp
Foto janaan AI

SAN JOSE, California: Google akan melancarkan sebuah satelit prototaip bagi menilai prestasi cip kecerdasan buatan (AI) syarikat itu di angkasa lepas, kata Google pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

“Di orbit rendah Bumi, satelit boleh menerima cahaya matahari hampir secara berterusan, sekali gus menjana sehingga lapan kali lebih banyak tenaga solar berbanding di Bumi,” menurut Google dalam satu hantaran blog.

“Pada masa depan, beberapa konstelasi satelit mungkin boleh dihubungkan bagi membolehkan ia mengendalikan beban kerja AI yang lebih besar ketika berada di orbit.”

Google memaklumkan Tensor Processing Units (TPU) akan dibawa menaiki roket SpaceX Falcon 9 minggu depan bagi menguji keupayaannya menghadapi “tekanan fizikal penerbangan angkasa serta tahap radiasi dan suhu ekstrem di angkasa”.

“Sesetengah perkara hanya boleh diuji di angkasa … Pelancaran pertama ini bertujuan melihat perkara yang berfungsi, mengenal pasti titik kegagalan dan menggunakan penemuan itu bagi misi akan datang.”

Google berkata penyejukan pusat data di orbit serta memastikan satelit dapat berkomunikasi pada jalur lebar sangat tinggi dalam jarak amat dekat turut menjadi “cabaran kejuruteraan”.

“Usaha menjadikan angkasa sebagai lokasi untuk menjalankan pengkomputeran AI berskala besar memerlukan masa dan pembangunan secara berperingkat. Langkah pertama ialah memastikan perkakasan kami mampu bertahan dalam keadaan fizikal yang mencabar dan tidak menentu ketika beroperasi di orbit,” menurut Google. – Bernama