LIMBANG: Seramai 118 peserta projek Tanaman Baru Getah Berkelompok berikrar akan memastikan projek itu berjaya mencapai matlamatnya.
Malahan, mereka sedia bekerjasama dalam membantu pihak bertanggungjawab memastikan projek ini berjaya.
Ini kerana, sebelum pokok getah matang ia akan dipantau dan diselanggara oleh Jabatan Pertanian dalam tempoh empat tahun setengah sebelum diserahkan sepenuhnya kepada peserta.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail yang melakukan lawatan kerja ke tapak Projek Tanaman Baru Getah Berkelompok di Kampung Mengatai melahirkan rasa bersyukur atas penglibatan bersama peserta dengan agensi yang telah dipertanggungjawabkan.
Menurut Abdul Rahman tanaman getah merupakan salah satu komoditi utama negara selain daripada kelapa sawit.
Sehubungan itu, Daerah Limbang tidak terkecuali dari menerima peruntukan bagi penanaman getah iaitu bagi DUN Bukit Kota seluas 242 hektar melibatkan 182 peserta dengan peruntukan RM392,356 manakala di DUN Batu Danau seluas 240 hektar melibatkan 98 orang peserta dengan peruntukan RM403,743.
Manakala bagi projek di Kampung Mengatai, telah mula dilaksanakan pada 2018 melibatkan 20 peserta dengan keluasan 37 hektar.
Projek tersebut dilaksanakan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sejak 2000.
Turut hadir Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jafaruddin Bin Ali, KK Kampung Mengatai Abu Bakar Mohamad dan sebahagian peserta yang terlibat dalam projek berkenaan.
Oleh Adeng Edrus