Abdul Karim mahu teruskan agenda pembangunan Asajaya

Facebook
WhatsApp
ABDUL Karim ketika ditemui media selepas pengumuman calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), di Ibu Pejabat PBB, hari ini.

PETRA JAYA, 25 November: Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan pencalonan semulanya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Asajaya sebagai satu penghormatan dan peluang untuk meneruskan komitmennya terhadap pembangunan kawasan itu.

Beliau berkata, sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi, tumpuannya adalah memastikan perancangan pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di Asajaya serta Samarahan dapat diteruskan.

“Saya berasa amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bertanding buat kali keenam. Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik untuk memperoleh kemenangan yang baik dan meneruskan komitmen saya terhadap Asajaya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), di Ibu Pejabat PBB, hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, beberapa projek pembangunan berskala besar sedang dirancang dan dilaksanakan di kawasan berkenaan termasuk pembinaan jalan raya, lebuh raya bertingkat serta pembangunan berkaitan lapangan terbang.

Beliau yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) berkata, pencalonan semula itu membolehkannya meneruskan perancangan pembangunan yang telah diusahakan selama ini.

Menurutnya, kesinambungan kepimpinan penting bagi memastikan projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan hala tuju pembangunan kawasan berkenaan.

“Oleh itu, apabila dicalonkan semula, saya perlu meneruskan apa yang telah dirancang sebelum ini, kerana jika orang lain yang mengambil alih, mereka terpaksa menyambung apa yang telah saya tinggalkan. Saya amat gembira dan harus saya katakan bahawa pihak kepimpinan telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus dicalonkan semula di kawasan itu”, katanya.

Mengulas keperluan yang masih perlu diberi perhatian, Abdul Karim berkata, capaian internet merupakan antara kekurangan yang masih dirasai penduduk, bukan sahaja di Asajaya dan Samarahan, malah di beberapa kawasan lain di Sarawak.

Katanya, walaupun kedua-dua kawasan itu terletak berhampiran bandar raya Kuching, mutu sambungan internet masih belum memuaskan di sesetengah lokasi.

“Perkara yang masih kurang bukan sahaja di Samarahan dan Asajaya, tetapi juga di banyak kawasan lain di Sarawak ialah capaian internet.

“Asajaya terletak agak dekat dengan bandar, namun sambungan internet masih kurang memuaskan. Kita berharap Kerajaan Persekutuan menerusi syarikat telekomunikasi serta kerajaan Sarawak dapat berusaha menambah baik perkara tersebut,” katanya.

Abdul Karim yang merupakan penyandang kerusi DUN Asajaya sejak 2001 akan bertanding bagi penggal keenam sekiranya berjaya memperoleh mandat pada PRN Sarawak ke-13.

Beliau turut memegang jawatan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak selain portfolio pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan.

Oleh Shikin Mahmud

ASPIRASI umum Jileng Kion calon DUN Opar

KUCHING, 24 November: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) mengumumkan Bendahari Agungnya, Jileng Kion, 70, sebagai calon parti itu bagi kerusi