Projek Pengindahan Tebingan Sungai siap penghujung tahun ini

NUR AIN OTSMAN

KUCHING: Projek Pengindahan Tebingan Sungai Kuching, bermula Kampung Boyan hingga ke Kawasan Kubu Margherita menelan belanja sebanyak RM24 juta dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setelah siapnya projek itu nanti ia bakal mengubah keindahan Bandar Raya Kuching terutama Tebingan Sungai Kuching yang mana sebelum ini hanya terkenal dengan Air Pancut Berirama Darul Hana bagi menarik kedatangan pelancong.

“Projek ini termasuk naik taraf jalan untuk pejalan kaki, pengindahan Pangkalan Sapi dan Traditional English Tea House di Kubu Margherita,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan tapak projek di Kubu Margherita, semalam.

Abdul Karim berharap rakyat dapat menghargai semua projek ini dengan tidak akan melakukan vandalisme.

“Tempat ini dibuka untuk orang awam, harapan kita agar rakyat dan pelancong merasa bangga dengan keindahan yang ada nanti,” ujarnya sambil menambah projek tersebut mula dijalankan pada tahun 2017.

Walaupun ia mengalami sedikit kelewatan, namun Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak memberitahu kelewatan projek ini adalah disebabkan oleh bentuk muka bumi di sepanjang sungai.

“Saya percaya, kontraktor mengalami tamparan hebat untuk menyiapkan projek ini yang mana ia melibatkan kawasan berbukit dan sungai.

“Tetapi ini tidak bermakna mereka tidak akan menyiapkan sepenuhnya pada penghujung tahun nanti.

“Saya yakin, hasil projek ini akan membuatkan semua terpukau,” katanya.