SKRANG, 3 Oktober: Kawasan Skim Skrang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian yang lebih produktif menerusi aktiviti agro yang bersesuaian dengan keadaan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, potensi tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkukuh sektor pertanian serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Menurutnya, golongan belia khususnya perlu melihat sektor pertanian bukan sekadar sebagai pekerjaan tradisional, sebaliknya sebagai kerjaya dan bidang perniagaan yang mampu menjana pendapatan.

“Pertanian mempunyai potensi besar untuk menjadi sumber pendapatan, terutama apabila teknologi baharu dan kaedah pertanian moden diaplikasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Dewan Dr Johnichal Rayong, Skim Skrang, semalam.
Dr Johnical turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara petani, Jabatan Pertanian dan pemimpin masyarakat bagi memastikan pembangunan sektor pertanian di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, para petani juga digalakkan menerima teknologi serta pendekatan baharu dalam meningkatkan produktiviti, manakala Jabatan Pertanian akan terus menyediakan khidmat teknikal, bimbingan dan sokongan yang diperlukan.
Beliau berharap segala ilmu dan pengetahuan yang diperoleh peserta sepanjang program berkenaan dapat dimanfaatkan serta dipraktikkan dalam aktiviti pertanian masing-masing.
“Program seperti ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada pengembangan sektor pertanian serta peningkatan pendapatan komuniti setempat,” katanya.
Program AgriCOP berkenaan melibatkan seramai 120 peserta daripada 12 rumah panjang di sekitar kawasan Skim Skrang.
Program itu bertujuan mendekatkan perkhidmatan dan pengetahuan pertanian kepada komuniti setempat, selain memberi pendedahan mengenai teknologi, pengurusan tanaman, pertanian pintar serta peluang keusahawanan dalam sektor agro.
Sepanjang program, peserta mengikuti beberapa sesi ceramah dan diseminasi meliputi pengenalan AgriCOP, teknologi tanaman kelapa sawit, pengendalian racun perosak dan penyakit tanaman padi serta sawit, industri asas tani dan e-Tani.
Majlis turut dihadiri Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Engkilili, Kho Thong Chiew yang mewakili Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman, serta warga kerja Pertanian Bahagian Sri Aman dan Engkilili/Lubok Antu.
Oleh Adi Safarman




