KUCHING: Isu pemerkasaan wanita termasuk keyakinan diri, kepimpinan dan keberanian mencipta peluang menjadi antara topik yang diketengahkan menerusi podcast KelakaBelia Episod 20.
Episod bertajuk ‘Boss Lady: Wanita Perlu Tunggu Peluang atau Cipta Peluang?’itu menampilkan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiah Sapiee, yang berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai cabaran wanita dalam kerjaya dan kepimpinan.
Perbincangan turut menyentuh persepsi terhadap wanita yang tegas dan mempunyai cita-cita tinggi, tekanan untuk membuktikan kemampuan serta cabaran mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.
Rodiah turut berkongsi pengalaman beliau dalam bidang profesional dan khidmat masyarakat sebelum dipilih sebagai wakil rakyat, termasuk cabaran yang dihadapi wanita untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya dan kepimpinan.
Pengalaman beliau sebagai wakil rakyat bagi kawasan Batang Sadong turut memberi perspektif mengenai peluang dan cabaran yang dihadapi wanita serta golongan muda, khususnya di kawasan luar bandar.
Setiausaha Akhbar kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik AZAM bagi tempoh 2026–2028, Dato Ambrose Cheng Loi Hee, berkata isu berkaitan wanita dan kepimpinan perlu turut dibincangkan dalam ruang yang dekat dengan golongan muda.
“Perbincangan mengenai wanita dan kepimpinan perlu terus dibawa ke ruang yang lebih dekat dengan golongan muda.
“Apa yang penting ialah memberi ruang kepada setiap individu untuk mengenal pasti potensi, membina keyakinan dan mengambil peluang untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, berkata pemilihan topik berkenaan selaras dengan pendekatan KelakaBelia dalam membawa isu pembangunan masyarakat kepada golongan muda menerusi perbualan yang lebih terbuka.
“Pemerkasaan bukan sekadar mengenai peluang yang diberikan, tetapi turut melibatkan keyakinan untuk mengambil peluang, mencipta ruang dan memainkan peranan dalam bidang masing-masing.
“Melalui KelakaBelia, kita mahu isu seperti ini dibincangkan secara lebih dekat dengan belia supaya mereka bukan sahaja mendengar pengalaman seorang pemimpin, tetapi dapat melihat bagaimana pengalaman tersebut boleh menjadi pembelajaran dalam perjalanan mereka sendiri,” jelasnya.
Untuk rekod, KelakaBelia merupakan platform podcast belia anjuran AZAM Sarawak dengan kerjasama Ibrandium yang mengetengahkan perbualan mengenai isu, pengalaman dan perspektif yang dekat dengan generasi muda.
Episod 20 akan ditayangkan menerusi platform media sosial rasmi KelakaBelia termasuk Instagram, Facebook, TikTok, Threads dan YouTube, manakala versi audio boleh didengari menerusi Spotify.




