Ekonomi karbon buka peluang baharu kepada Mukah

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam Premier Sarawak bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah malam ini.

MUKAH: Mukah berpotensi mendapat manfaat daripada ekonomi karbon susulan kekayaan kawasan paya, bakau dan tanah gambutnya yang berupaya menyimpan karbon.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan ekonomi global susulan isu perubahan iklim membuka peluang baharu kepada Sarawak, termasuk Mukah, untuk menjadikan pemeliharaan sumber semula jadi sebagai aktiviti yang mampu menjana pendapatan.

Menurutnya, kawasan bakau mempunyai keupayaan menyerap karbon yang tinggi, manakala Mukah mempunyai kawasan paya dan pesisir pantai yang luas yang boleh dimanfaatkan dalam ekonomi karbon.

“Ekonomi kita mesti berubah. Kita pertahankan kekayaan kita ini kerana hari ini sudah ada apa yang disebut sebagai perdagangan karbon,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Premier Sarawak bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah sempena Program Sarawakku Sayang di sini malam ini.

Abang Johari berkata, Sarawak telah menyediakan kerangka perundangan berkaitan pengurusan karbon bagi membolehkan negeri itu meneroka peluang dalam ekonomi baharu berkenaan.

“Hasil yang diperoleh daripada sumber ekonomi baharu akan dilaburkan semula untuk manfaat rakyat, termasuk membiayai pembangunan infrastruktur di Mukah,” katanya.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh kemudahan asas di bahagian itu, termasuk bekalan air menerusi pembangunan loji rawatan air Basong bernilai kira-kira RM240 juta.

Menurutnya, pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan Mukah dengan kawasan lain turut membuka ruang lebih luas kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan mobiliti penduduk.

“Pendekatan pembangunan Mukah perlu bergerak seiring perubahan teknologi dan ekonomi global, selain meneruskan asas pembangunan yang dibentuk kepimpinan terdahulu,” ujar beliau.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak mahu memastikan hasil daripada pertumbuhan ekonomi Sarawak dikembalikan kepada rakyat menerusi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan peningkatan taraf hidup.

Oleh Akun Giman