PENERANGAN… Datuk Dr. Sabirin Jaafar mempunyai kepakaran dalam maritim memberi taklimat kepada Dato Henry Sum Agong semasa pengambilan data menggunakan kapal MV Sabik milik JLM di Lawas.
LAWAS: Kajian awal Institut Marin Malaysia (MIMA) mendapati lokasi cadangan Pelabuhan Laut Dalam Lawas terletak di zon ekonomi yang aktif dalam rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Lokasi cadangan pelabuhan laut dalam berkenaan terletak di perairan Pulau Sari, Kuala Lawas yang terlindung oleh Teluk Brunei.
Ketua Pengarah MIMA, Datuk Dr. Sabirin Jaafar memberitahu hasil kajian awal mendapati Pelabuhan Lawas memiliki kedalaman semula jadi yang sesuai dan pada kedudukan geografi yang strategik.
Kedalaman maksima yang direkodkan ialah 24 meter, manakala kedalaman di kawasan pesisir Pulau Sari sekitar 10 hingga 12 meter. Kajian ini meliputi berbagai aspek seperti geografi, ekonomi dan unjuran masa hadapan.
Sabirin turut menyentuh mengenai kedudukan Lawas yang hampir dengan ibu negara baharu Indonesia di Nusantara, Kalimatan.
Ini memberi kelebihan kepada potensi Lawas sebagai hab perdagangan dengan ibu negara baharu Indonesia di Nusantara Kalimantan dan kawasan serantau seperti Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan dan Filipina.
Pada masa sama, MIMA kini dalam membuat kajian secara menyeluruh pelabuhan seluruh Malaysia melibatkan alam sekitar, unjuran ekonomi dan sebagainya yang turut melibatkan Pelabuhan Laut Dalam Lawas.
Sabirin juga optimis bahawa Pelabuhan Lawas mempunyai masa depan yang amat baik dan pihaknya bersama agensi lain berkaitan akan terus menjalankan kajian mendalam meliputi segala aspek yang penting.
Selain itu, faktor aktiviti petro-kimia di kawasan Pulau Sari juga dilihat amat sesuai dengan pembangunan Pelabuhan Lawas bagi menyokong sektor ekonomi berkaitan perdagangan antarabangsa.
Terdahulu, Sabirin bersama Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) melakukan pelayaran untuk kajian awal menggunakan kapal MV Sabik milik JLM yang berpengkalan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Oleh ADENG EDRUS