BINTULU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) cawangan Bintulu melancarkan Program Sumbangan Cermin Mata untuk Golongan B40, bertujuan memberikan bantuan praktikal kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan Bintulu.
Program ini merupakan inisiatif untuk meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dengan menyediakan 5,000 pasang cermin mata secara percuma.
Sumbangan cermin mata ini akan diedarkan melalui kerjasama dengan beberapa organisasi kebajikan sosial tempatan.
Untuk fasa pertama, seramai 22 orang daripada golongan kurang berkemampuan yang terlibat dalam Program Penjagaan Komuniti Methodist di Bintulu telah menerima manfaat.
Menurut Presiden YPNM Cawangan Bintulu, Kapitan Fang Yew Long, tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup penerima bantuan.
“Program ini adalah kesinambungan komitmen yayasan untuk menyokong golongan yang memerlukan.
“Kami berharap, melalui bantuan praktikal ini, kualiti hidup penerima dapat ditingkatkan serta menggalakkan lebih ramai pihak untuk menyertai usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kapitan Fang turut merakamkan penghargaan kepada Robert T Optical, yang telah menyumbangkan 5,000 pasang cermin mata, serta kepada para sukarelawan dan agensi kerajaan yang telah bekerjasama untuk menjayakan program ini.
Jelas beliau, pengagihan cermin mata akan dilakukan berdasarkan keperluan individu dan dipastikan berjalan dengan telus.
“Setiap cermin mata termasuk bingkai dan kanta, berbeza daripada sumbangan bingkai biasa.
“Kami menyediakan cermin mata lengkap secara percuma kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Bagi langkah seterusnya, yayasan bercadang untuk mengedarkan cermin mata kepada para pelajar yang memerlukan di sekolah-sekolah di sekitar Bintulu.
Selain itu, program-program lain yang lebih menyeluruh untuk menyokong golongan B40 juga akan diteroka, seperti latihan kemahiran dan aktiviti sokongan komuniti.
Untuk maklumat lanjut atau untuk menyertai program ini, orang ramai boleh melawat laman Facebook rasmi Yayasan Pengguna Negara Malaysia di https://www.facebook.com/profile.php?id=61564254497400.