SPAOH: Laluan utama menuju ke Penom terhalang sepenuhnya selepas sebatang pokok mulong dan pokok durian tumbang di Jalan Ulu Paku, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh menerima panggilan daripada orang awam pada 7.05 pagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Susulan laporan itu, empat anggota APM Spaoh menerusi Skuad Bravo segera digerakkan ke lokasi pada 7.08 pagi dan tiba kira-kira 7.53 pagi, dengan jarak perjalanan sehala sekitar 20 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD).

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati pokok mulong dan pokok durian yang tumbang menghalang sepenuhnya laluan utama ke Penom, sekali gus menyukarkan pergerakan kenderaan.
“Tanpa membuang masa, anggota Skuad Bravo terus menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok menggunakan peralatan yang dibawa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi yang melibatkan Prebet Mohamad Firdaus Lihi, Prebet Ahmad Zulfakar Ramlan, Prebet Muhamad Zulhelmey Abdullah dan Prebet Mohd Shahrul Nasir itu selesai pada 9.35 pagi.

Kerja-kerja pembersihan berjaya diselesaikan sepenuhnya dan laluan berkenaan kembali boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Operasi itu turut menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda, gergaji rantai (chainsaw), kotak peralatan, tali, sarung tangan serta topi keselamatan bagi memastikan kerja pemotongan dan pembersihan dilaksanakan dengan selamat.
Oleh Adi Safarman




