BINTULU: Sambutan menggalakkan golongan belia terhadap aktiviti sukan rakyat menjadi antara tarikan utama Festival Jepak 2026 yang julung kali dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Lot Warisan Jepak, di sini, hari ini.
Pertandingan tarik tali antara acara yang mendapat sambutan paling menggalakkan dengan kebanyakan penyertaan melibatkan golongan belia.
Pengerusi Kelab Pencinta Seni dan Budaya Bintulu, Safarudin Narudin, berkata penganjuran Festival Jepak bukan sahaja menyediakan ruang kepada masyarakat setempat untuk beriadah, malah menggalakkan golongan belia bergiat aktif dalam aktiviti sukan.
“Program hari ini sebenarnya adalah program untuk menyambut Hari Malaysia dan Festival Jepak ini julung kali diadakan, khas dibuka untuk warga Jepak dan sekitarnya.
“Memandangkan ini baru pertama kali diadakan, kita lihat dahulu bagaimana sambutannya dan kita berpuas hati kerana sambutan daripada warga Jepak amat menggalakkan serta mereka sangat menyokong program ini,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran aktiviti sukan rakyat seperti tarik tali penting bagi memastikan permainan berkenaan terus dikenali dan tidak dilupakan oleh generasi akan datang.
“Sukan sebegini sesuai untuk diteruskan supaya dapat menggalakkan lebih ramai golongan belia aktif bersukan.


TAHNIAH…Kumpulan A’la Akew Tauk Alom muncul juara acara tarik tali lima sebelah kategori wanita, manakala kumpulan Anak Jepak menjuarai kategori lelaki pada Festival Jepak 2026 di Padang Lot Warisan Jepak, Bintulu, petang tadi.
“Pada masa sama, acara sukan rakyat seperti ini dapat mendedahkan golongan belia kepada aktiviti berkenaan supaya tidak dilupakan oleh generasi akan datang. Itu sebenarnya antara tujuan Festival Jepak ini diadakan,” katanya.
Safarudin berkata, sambutan menggalakkan terhadap penganjuran sulung itu turut membuka peluang untuk Festival Jepak dipertimbangkan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.
“Kita berharap program ini, insya-Allah, dapat diadakan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak acara menarik,” katanya.
Beliau berkata, pihak penganjur juga berhasrat memperluaskan penyertaan pada penganjuran akan datang dengan membuka peluang kepada masyarakat dari luar Jepak.
Festival Jepak 2026 dimulakan dengan larian santai sejauh lima kilometer (5KM) pada awal pagi tadi, sebelum diteruskan dengan cabaran angkat berat, pertandingan tarik tali dan larian berganti-ganti 4×100 meter pada sebelah petang.
Selain acara sukan, aktiviti sampingan seperti karaoke dan cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan program berkenaan.
Program anjuran Jepak Brothers Sdn. Bhd. itu merupakan penganjuran sulung yang memberi tumpuan kepada masyarakat di Jepak dan kawasan sekitarnya.
Oleh Faizah Muzidi





