Bantuan tiket penerbangan RM500 (one-off) untuk pelajar baharu IPTA – PM Anwar

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan mengenai bantuan khas pembelian tiket penerbangan domestik secara sekali beri sebanyak RM500 kepada pelajar baharu IPTA yang layak pada sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, malam ini.

PETRA JAYA: Kerajaan menyediakan bantuan khas pembelian tiket penerbangan domestik secara sekali beri (one-off) sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baharu Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak bagi sesi kemasukan September dan Oktober tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu melibatkan pelajar Universiti Awam, politeknik dan kolej komuniti yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Ini akan memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memulakan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Jelasnya, bantuan berkenaan diputuskan selepas perbincangan bersama Menteri Pengangkutan dan Menteri Pendidikan Tinggi.

Langkah itu bertujuan membantu pelajar baharu yang perlu melakukan perjalanan menggunakan penerbangan domestik untuk memulakan pengajian pada sesi akademik berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi