

-Foto UKAS
ASAJAYA: Majlis Menyalakan Lampu dan Jom Sungkei Bersama sempena Malam 7 Likur berlangsung dengan meriah di Pekan Asajaya.
Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Asajaya serta JKKK Kampung Moyan/Serpan ini dirasmikan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Majlis itu bertujuan menyemarakkan sambutan Aidilfitri serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur atas inisiatif mengadakan program berbuka puasa bersama serta menyalakan lampu sempena Malam 7 Likur.

-Foto UKAS
“Program seperti ini mencerminkan semangat toleransi dan kerjasama yang kukuh dalam masyarakat berbilang kaum.
“Kita hidup dalam satu keluarga yang harmoni dan semangat perpaduan ini perlu dikekalkan sebagai satu keunikan Sarawak untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk acara berbuka puasa bersama dan nyalaan lampu bagi memeriahkan Malam 7 Likur yang merupakan tradisi masyarakat dalam menyambut Aidilfitri.
Hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Temenggong Masyarakat Cina Bahagian Samarahan, Liew Shark Sen, Kapitan Pekan Asajaya, Chai Kim Kiong, Kapitan Kampung Moyan/Serpan, Bong Yu Ching serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Asajaya. -UKAS