SARIKEI: Projek menaik taraf Jalan Nyelong By-Pass sepanjang kira-kira 3.6 kilometer kepada empat lorong dua hala sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti trafik, melancarkan aliran kenderaan serta mempertingkat keselamatan pengguna jalan raya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek tersebut merupakan antara usaha memperkukuh infrastruktur serta jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.
“Projek menaik taraf Jalan Nyelong By-Pass sepanjang kira-kira 3.6 kilometer sedang giat dilaksanakan, melibatkan pelebaran jalan kepada empat lorong dua hala bagi meningkatkan kapasiti trafik, melancarkan aliran kenderaan dan meningkatkan keselamatan pengguna.
“Jalan Penghubung Nyelong By-Pass–Kwong Ming Minah sepanjang kira-kira dua kilometer turut dibina sebagai laluan alternatif bagi memperkukuh jaringan jalan raya, meningkatkan aksesibiliti dan menyokong pembangunan kawasan sekitar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap pada Pesta Tanglung anjuran Persatuan Klan Lin Bahagian Ketiga, Keenam dan Ketujuh Cawangan Sarikei, baru-baru ini.
Huang berkata, pelaksanaan kedua-dua projek tersebut akan meningkatkan tahap infrastruktur dan kesalinghubungan, selain menyediakan jaringan jalan raya yang lebih baik bagi menyokong pembangunan kawasan sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kepentingan Pesta Tanglung sebagai wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan ahli Persatuan Klan Lin.
“Amat mengharukan apabila melihat ahli persatuan daripada sekurang-kurangnya empat generasi dapat berkumpul bersama, sekali gus mencerminkan kesinambungan semangat kekeluargaan dan pemeliharaan warisan tradisi.
“Persatuan Klan Lin bukan sekadar memainkan peranan menyatukan ahli dan menjaga kebajikan mereka, malah menjadi platform penting untuk memastikan nilai serta tradisi diwariskan kepada generasi muda,” katanya.
Tambahnya, semangat Pesta Tanglung yang melambangkan cahaya, harapan dan keharmonian juga membawa mesej mengenai tanggungjawab bersama terhadap kebajikan masyarakat, khususnya warga emas dan keluarga yang berdepan kesukaran.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan serta usaha kerajaan negeri dalam memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan memperkukuh pembangunan di peringkat akar umbi.
Sebagai sokongan terhadap usaha Persatuan Klan Lin meneruskan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, Huang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Klan Lin Sarawak Bahagian Ketiga, Keenam dan Ketujuh Cawangan Sarikei.
Turut hadir ialah Temenggong Lau Hieng Ping dan Pemanca Chan Phan Chan.
Oleh Earl Anek





