
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menyeru warga pendidik dan ibubapa untuk saling bekerjasama dalam memastikan kecemerlangan prestasi murid-murid yang merupakan pelapis kepada pemimpin masa depan yang melahirkan modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian.
Beliau berkata, di Sarawak telah banyak menekankan kepentingan pendidikan secara keseluruhannya dengan pendekatan memperkasakan tenaga pengajar dengan pengetahuan dan memberi pendedahan kepada murid-murid mengenai pembelajaran alaf baharu.
“Bukti kepada kesungguhan Sarawak yang ingin melihat semua anak Sarawak mendapat pendidikan secara keterangkuman, memperkenalkan pendidikan percuma di universiti tempatan milik kerajaan Sarawak iaitu di Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak, Universiti Curtin dan Universiti Kolej i-CATS.
“Ibubapa harus mengambil peluang dengan memberi sokongan kepada anak masing-masing untuk memilih universiti tempatan.
“Ia adalah kerana beban kewangan bagi pelajar akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak dan tidak ada alasan untuk tidak mampu menghantar anak-anak belajar di peringkat universiti,” katanya ketika merasmikan majlis makan malam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) St Lawrence Sabu dekat sini, semalam.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menjelaskan dasar pendidikan percuma untuk anak Sarawak yang akan dilaksanakan pada tahun depan bakal memberi banyak manfaat kepada anak Sarawak yang belajar di universiti milik kerajaan Sarawak sendiri.
Kerajaan Sarawak katanya komited merealisasikan hasrat menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak susulan kekuatan ekonomi negeri ini.
Justeru, beliau menggalakkan lebih ramai anak Sarawak termasuk di DUN Simanggang terutamanya untuk meningkatkan prestasi pelajaran agar mereka dapat menikmati peluang itu apabila dilaksanakan kelak.
Pada majlis tersebut Harden telah meluluskan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada PIBG dan RM10,000 kepada Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) SK St Lawrence Sabu sebagai dana untuk membiaya aktiviti persatuan berkenaan.
Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Anthony Abell Chendan, Guru Besar SK St Lawrence Sabu, Alfred Kendim, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, Andreas Burn Denga, Timbalan Pengerusi MDSA Balean Suji Inggol serta tetamu jemputan yang lain.
Oleh Adi Safarman