155 pelajar di tiga sekolah Miri terima cermin mata percuma

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM.. Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menyampaikan cermin mata percuma kepada pelajar SK Senadin, Miri.

MIRI: Seramai 155 pelajar di tiga sekolah di sini kini dapat belajar dengan lebih selesa selepas menerima cermin mata percuma menerusi Program Cermin Mata Percuma.

 Tiga sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut dan SK Senadin.

Cermin mata berkenaan disampaikan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, menerusi program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Miri dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan Des Optics.

 Program itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga yang menghadapi kekangan kewangan mendapatkan cermin mata mengikut keperluan penglihatan mereka.

 Inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan Program Pemeriksaan Kesihatan Mata Pelajar Secara Percuma yang memberi peluang kepada pelajar menjalani pemeriksaan mata tanpa bayaran.

UNTUK ALBUM…CHIEW Choon Man menyampaikan cermin mata percuma kepada pelajar
SMK Pujut, Miri.

 Pelajar yang dikenal pasti mengalami masalah penglihatan kemudiannya menjalani pengukuran sebelum menerima cermin mata mengikut preskripsi secara percuma.

 Chiew berkata, setiap pelajar wajar mendapat akses kepada penjagaan kesihatan mata yang mencukupi bagi membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran.

 “Setiap pelajar seharusnya mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan mata yang mencukupi supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pelajaran.

 “Ini bukan sahaja penting untuk pembelajaran mereka, tetapi juga bagi meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TERIMA KASIH… CHIEW Choon Man menyampaikan cermin mata percuma kepada beberapa pelajar SK Kuala Baram, Miri.

 Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, NGO dan semua organisasi yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

 Menurutnya, persekitaran pembelajaran yang baik dan kondusif penting bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan berkesan, manakala penglihatan yang jelas merupakan antara faktor utama dalam proses pembelajaran.

 Chiew berkata, usaha seumpama itu akan diteruskan menerusi lebih banyak program pada masa hadapan bagi memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, khususnya golongan pelajar.

 Oleh Liong Chai Ling