Pokok tumbang hempap bumbung rumah, tiga penghuni selamat

Facebook
WhatsApp
TIGA penghuni sebuah rumah di Sungai Menua, Roban, cemas apabila sebatang pokok tumbang menghempap bahagian bumbung rumah mereka susulan cuaca buruk dan hujan lebat, petang tadi. Foto: APM Saratok

ROBAN: Tiga penghuni sebuah rumah di Sungai Menua, Roban, cemas apabila sebatang pokok tumbang menghempap bahagian bumbung rumah mereka susulan cuaca buruk dan hujan lebat, petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.52 petang memaklumkan kejadian berkenaan.

“Panggilan diterima daripada orang awam yang memaklumkan terdapat pokok tumbang menimpa bumbung rumah pengadu dan memohon bantuan APM untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Pasukan APM bergerak ke lokasi pada 4.54 petang dan tiba sekitar 21 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasukan Skuad Charlie mendapati pokok tumbang berkenaan benar-benar menghempap bahagian bumbung rumah, khususnya di kawasan dapur dan tandas.

Kejadian dipercayai berlaku akibat keadaan cuaca buruk serta hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.

“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, seramai empat anggota APM terlibat dalam operasi berkenaan dengan menggunakan sebuah kenderaan persendirian, selain dilengkapi gergaji rantai, parang, topi keselamatan penyelamat dan sarung tangan.

“Anggota terlebih dahulu memastikan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dipakai sebelum kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok dijalankan.

“Pokok yang tumbang berjaya dialihkan sepenuhnya dan kawasan bumbung yang terjejas turut dibersihkan,” katanya.

Operasi selesai pada 6.18 petang, dengan keadaan di lokasi dilaporkan selamat dan terkawal.

APM turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika hujan lebat dan cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Oleh Adi Safarman