Green Ecofarm Sibu berkembang sebagai destinasi rekreasi alam semula jadi

Facebook
WhatsApp
SUASANA di Green Ecofarm yang menjadi destinasi baru untuk dikunjungi penduduk Sibu.

SIBU: Bermula daripada minat terhadap bidang pertanian, Green Ecofarm Sibu kini berkembang menjadi destinasi rekreasi berkonsepkan alam semula jadi yang menawarkan pengalaman santai kepada pengunjung, selain menjadi lokasi pilihan untuk sesi fotografi perkahwinan.

Pemiliknya, Kapitan Ling Nai Woo berkata, beliau sendiri mereka bentuk kawasan berkenaan dengan memanfaatkan keadaan semula jadi yang terdapat di kebunnya.

Menurutnya, proses membangunkan kolam ikan itu mengambil masa kira-kira tiga tahun setengah, manakala kebun berkenaan sudah diusahakan selama lapan tahun.

“Semua ini saya sendiri yang reka. Contoh, kolam ini dulu ada sungai kecil, kemudian saya bangunkan sebuah kolam disini dengan mengambil masa sekitar tiga tahun setengah.

“Manakala kebun disini pula sudah saya usahakan selama lapan tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Beliau berkata, keindahan pemandangan di Green Ecofarm turut menjadikannya lokasi yang sesuai untuk majlis perkahwinan dan sesi fotografi, dengan pengunjung sering datang untuk mengabadikan kenangan istimewa mereka.

“Green Ecofarm dibuka kepada pengunjung dari Jumaat hingga Ahad, bermula 12.00 tengah hari hingga 8.00 malam, dengan waktu sekitar 4.00 petang dicadangkan bagi mereka yang mahu mendapatkan pencahayaan dan pemandangan lebih menarik untuk bergambar,” ujarnya.

Ling berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan untuk program dan majlis, termasuk ruang memasak, selain menawarkan hidangan berasaskan hasil kebun serta ikan ternakan sendiri.

Antara hasil pertanian yang diusahakan ialah bayam, kacang panjang, cili, avokado, limau dan durian belanda, manakala ikan yang diternak termasuk ikan sultan, tilapia dan patin.

“Kalau ada pihak yang mahu mengadakan program di sini, memang boleh. Kemudahan memasak pun ada disediakan. Semua masakan hasil daripada kebun kami sendiri dan ikan yang kami ternak. Semuanya halal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses menambah kemudahan baharu seperti chalet, mini air terjun dan gelanggang pickleball yang dijangka siap dalam tempoh lebih sebulan.

Menurutnya, penambahan berkenaan bertujuan menjadikan Green Ecofarm lebih menarik serta memberikan lebih banyak pilihan aktiviti kepada pengunjung.

Green Ecofarm yang terletak bertentangan Kem Askar Sibu turut menyediakan bot kayuh untuk pengunjung meluangkan masa bersama orang tersayang.

Ling berkata, pihaknya berharap Green Ecofarm terus menjadi pilihan orang ramai untuk menikmati suasana alam semula jadi, sama ada bersama keluarga, rakan-rakan mahupun bagi mengadakan majlis istimewa.

Oleh Tarani Lanting