ADENG IDRUS
LAWAS: Seorang warga emas daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 62 tahun terharu menerima sumbangan pek makanan daripada Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Bukit Sari.
Asnah Mail, yang juga merupakan ibu tunggal buta berasal dari Kampung Bukit Naga Jalan Punang dengan sebak mengucap terima kasih atas bantuan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari.
Beliau juga berpesan agar disampaikan ‘salam’ kepada Awang Tengah yang sentiasa perihatin dengan keadaan rakyat di kawasannya.
Nasib Asnah bergantung kepada bantuan keluarga dan jiran tetangga tanpa mampu melakukan sebarang pekerjaan untuk menjana pendapatan.
Malahan Asnah mengakui keadaan sekarang amat sukar untuk mendapat bekalan keperluan khususnya barangan dapur.
Warga emas ini juga berdoa agar Awang Tengah dan keluarga diberikan kesihatan dan keselamatan sepanjang masa.
Pada masa sama, beliau turut bersedih mendengar berita Awang Tengah yang dikuarantin kerana dalam kategori orang disyaki (PUI) Covic-19 dan terus berdoa untuk kesejahteraan pemimpin yang beliau dan rakyat Lawas sayangi.
Bantuan fasa pertama berupa sumbangan daripada Pusat Khidmat PBB Cawangan Bukit Sari meliputi semua penduduk di Bukit Sari dan sebahagian daripada DUN Ba’kelalan.
Agihan dilakukan oleh pasukan Barisan Hadapan Pandemik Covid-19 PBB Bukit Sari diketuai Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari Awang@Ibrahim Ahmat.
Awang@Ibrahim yang ditemui turut mengesahkan sejumlah 7,600 pek bantuan makanan telah diedarkan.
Sumbangan ini adalah untuk semua tanpa mengira aliran politik dan sebagainya.
Ini kerana Awang Tengah tidak mahu sumbangan bantuan tersebut dijadikan bahan politik kerana adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Gabungan Parti Sarawak di negeri ini untuk memastikan keperluan rakyat dapat disalurkan kepada semua.