MIRI: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pan Borneo di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang itu melibatkan Perodua Viva yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 68 tahun dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux dipandu oleh seorang lelaki berumur 43 tahun.
“Hasil siasatan polis mendapati kenderaan Perodua Viva yang dipandu dari arah Bekenu telah mengubah haluan ke sebelah kanan hingga menyebab kenderaan Toyota Hilux yang datang dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan tersebut.
“Kesan kemalangan tersebut, kenderaan Perodua Viva mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang manakala Toyota Hilux mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Pemandu kenderaan Perodua Viva telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Berdasarkan laporan polis tersebut, Alexson berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gambar
REMUK… Keadaan kereta yang dipandu mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pan Borneo, Miri semalam.