Kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo Kampung Sabal Tapang, seorang maut tiga cedera

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN kendiri dekat Kampung Sabal Tapang mengakibatkan seorang lelaki berusia 24 tahun maut manakala tiga lagi cedera. Foto PGO Bomba Sarawak

SERIAN: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah Toyota Vios terbabas dalam kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Kampung Sabal Tapang, malam tadi.

Mangsa yang maut berusia 24 tahun manakala tiga mangsa yang cedera terdiri daripada seorang wanita berusia 23 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan seorang lelaki dewasa yang identitinya belum diperoleh.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 malam.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian diketuai Komander Operasi, PBK II Dobbin Dindot, tiba di lokasi pada 10.47 malam, kira-kira 56 kilometer dari balai.

Setibanya pasukan bomba, kesemua empat mangsa didapati sudah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam dan tiada mangsa yang tersepit.

PASUKAN kecemasan memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Kampung Sabal Tapang. Foto PGO Bomba Sarawak

Menurut PGO JBPM Sarawak, kemalangan berlaku selepas Toyota Vios berkenaan terbabas sebelum terhenti di tepi parit jalan.

Pasukan bomba tidak menjalankan operasi mengeluarkan mangsa, sebaliknya memberi bantuan awal serta memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Dua mangsa, masing-masing seorang wanita dewasa dan kanak-kanak perempuan, kemudian dihantar ke hospital berdekatan menggunakan ambulans Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Seorang lagi mangsa lelaki dewasa turut dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, seorang mangsa lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi bomba dikawal pada 11.25 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 12.10 tengah malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat dan tiada tindakan lanjut diperlukan.

Seramai lapan anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) dan sebuah EMRS terlibat dalam operasi tersebut, selain dibantu KKM dan PDRM.

Oleh Adi Safarman