Lori tiga tan terlibat kemalangan kendiri, mangsa cedera ringan

Facebook
WhatsApp
LORI tiga tan yang terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Taman Lily, Saratok, petang ini. Foto APM Saratok

SARATOK: Seorang lelaki dewasa terselamat selepas lori tiga tan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Taman Lily, petang ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.39 petang yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, seramai empat anggota APM Saratok digerakkan ke lokasi pada 3.41 petang sebelum tiba enam minit kemudian, iaitu pada 3.47 petang.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati benar berlaku kemalangan kendiri membabitkan sebuah lori tiga tan dengan seorang mangsa lelaki dewasa.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dalam keadaan sedar dan hanya mengalami lebam pada tangan kiri serta calar pada lengan kiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Nur Athirah berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan menolak untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Anggota bertugas telah menasihati mangsa supaya mendapatkan rawatan di hospital sekiranya mengalami kesakitan atau keadaan kesihatannya bertambah buruk,” katanya.

Operasi yang melibatkan empat anggota APM dengan sebuah ambulans serta satu beg perubatan itu ditamatkan pada 3.54 petang.

Kes berkenaan dikategorikan sebagai Kemalangan Kendiri (KJR), dengan jarak perjalanan sehala pasukan APM ke lokasi kira-kira lima kilometer.

Oleh Adi Safarman