SERIAN: Seorang warga emas berusia 80 tahun ditemukan selamat di sebuah pondok kebun, pagi tadi, selepas dikhuatiri hilang lebih 10 jam di Kampung Menyang Tanah Mawang, di sini.
Mangsa, Glundan Nyani, dilaporkan dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa pada 11.28 malam, semalam.
Mangsa kemudian ditemukan penduduk kampung di sebuah pondok kebun berhampiran pada 10.02 pagi tadi, kira-kira 10 jam 34 minit selepas panggilan kecemasan diterima.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, PBKI Nasihin Jaum, mangsa ditemukan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dihantar ke Hospital Serian bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya dalam catatan operasi hari ini.
Katanya, lokasi mangsa ditemukan adalah kira-kira dua kilometer dari pusat kawalan sementara bomba.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM, Rela dan penduduk kampung.
Mangsa yang dilaporkan mempunyai masalah daya ingatan itu dipercayai keluar rumah dengan hanya memakai seluar pendek berwarna hitam.
Operasi SAR ditamatkan pada 11.00 pagi tadi selepas mangsa ditemukan.
Oleh Afiq Sallehi




