
LAWAS: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas terus menjadi kekuatan kepada seluruh jentera PBB di Parlimen Lawas.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong memberitahu pergerakan Wanita PBB Bukit Sari ini telah sekian lama menjadi tunjang kekuatan PBB di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mahu agar pergerakan ini terus maju dengan memberikan ruang kepada generasi muda wanita Lawas untuk terlibat sama menyumbang kepada kekuatan PBB.
“Kita semua tahu sokongan paling padu sejak awal parti PBB di Lawas ini banyak digerakkan oleh kaum wanita.
“Mereka ini tidak bising, tetapi bergerak dengan berjumpa terus kepada rakyat di akar umbi untuk menyampaikan segala dasar perjuangan parti kita,” katanya pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Wanita PBB Cawangan Bukit Sari Lawas di sebuah restoran, di Lawas.
Beliau turut memuji Wanita PBB Bukit Sari atas persefahaman dan semangat kerjasama yang tinggi.
Majlis dimeriahkan dengan penyampaian penghargaan kepada veteran Wanita PBB Bukit sari yang telah banyak menyumbang kepada kewujudan pergerakan tersebut.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Sari, Aujinajian Garip, Exco Sayap Pemuda PBB Sarawak, Steve Lius dan kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus