MIRI: Sebuah rumah teres di Lorong Julau 2, di sini, terbakar dalam kejadian tengah hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.24 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri tiba di lokasi pada 11.36 pagi.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres berkeluasan kira-kira 30 x 60 kaki persegi dengan api dianggarkan memusnahkan kira-kira 60 peratus struktur tingkat bawah.
“Selain rumah, kebakaran turut melibatkan dua kenderaan, masing-masing dianggarkan 10 peratus dan 100 peratus terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur sepanjang 200 kaki dengan dua nozel serta satu aliran salur bantu mula.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Liong Chai Ling





