SARATOK, 23 November: Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya memotong dan mengalihkan sebatang pokok tumbang di kawasan Pejabat Daerah Saratok dalam tempoh kira-kira 20 minit, petang tadi.
Kejadian itu berjaya ditangani tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 5.40 petang sebelum menggerakkan empat anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, anggota APM tiba di lokasi pada 5.44 petang dan mendapati sebatang pokok tumbang yang memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan.
“Empat anggota telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan bagi menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang.
“Sebelum operasi dimulakan, ketua skuad terlebih dahulu memastikan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi menjamin keselamatan sepanjang operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi menggunakan dua gergaji rantai itu berjalan lancar apabila pokok berkenaan berjaya dipotong dan dialihkan ke tempat selamat.
Katanya, kerja pembersihan kawasan turut selesai pada 6.04 petang, sekali gus memastikan keadaan di lokasi kembali selamat dan terkawal.
“Sepanjang operasi dijalankan, tiada sebarang kemalangan berlaku dan semua anggota berada dalam keadaan selamat.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan persekitaran, khususnya apabila berhadapan dengan pokok yang berisiko tumbang,” katanya.
Operasi berkenaan melibatkan empat anggota APM Daerah Saratok iaitu Prebet Pertahanan Awam (PA) Spencer Nyambar Minggu@Sijang, Prebet (PA) Muhammad Zul Sidi, Prebet (PA) Fakhrullah Azhad Daud dan Prebet (PA) Clarence Ambas Renang.
Tindakan pantas itu mencerminkan komitmen APM dalam memberikan bantuan kecemasan serta memastikan keselamatan orang awam dan persekitaran sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman




