Lelaki ditangkap selepas serang pekerja kedai dua kali guna pisau lipat dan parang

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyerang seorang pekerja kedai runcit sebanyak dua kali menggunakan senjata tajam dalam kejadian di kawasan Ulu Krian, pada 20 dan 21 November lalu. Foto: IPD Saratok

SARATOK, 23 November: Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai menyerang seorang pekerja kedai runcit sebanyak dua kali menggunakan senjata tajam dalam kejadian di kawasan Ulu Krian, pada 20 dan 21 November lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji di kawasan Ulu Luau, Saratok, kira-kira 10.52 pagi, hari ini.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 20 November lalu di perkarangan sebuah kedai runcit di Nanga Ensawa, Ulu Krian, apabila suspek dipercayai menumbuk mangsa beberapa kali di bahagian badan dan kepala sehingga menyebabkan kecederaan pada kening.

“Suspek turut mengacukan sebilah pisau lipat ke arah mangsa, namun tindakan itu berjaya dihalang oleh seorang saksi yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejadian kedua berlaku kira-kira 8.00 malam, 21 November lalu, ketika mangsa sedang makan di rumah sewanya di Nanga Ensawa.

Suspek dipercayai datang secara tiba-tiba sebelum menendang pintu rumah mangsa sambil membawa sebilah parang panjang.

“Suspek kemudian mengacukan parang ke arah mangsa, meletakkan bilah parang di atas kepala mangsa sebelum menghentakkan hulu parang sehingga menyebabkan kepala mangsa mengalami benjolan.

“Suspek turut menendang badan mangsa sehingga terjatuh dan terbaring di lantai sebelum memijak kepala mangsa,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan suspek bahawa mangsa mengambil wang kedai tempatnya bekerja, bagaimanapun mangsa menafikan tuduhan berkenaan.

Suspek juga dipercayai tidak berpuas hati dengan hubungan rapat mangsa bersama seorang pekerja wanita yang bertugas sebagai juruwang di kedai runcit berkenaan.

Dalam operasi tangkapan itu, polis merampas dua bilah parang masing-masing berukuran 60 sentimeter dan 103 sentimeter, sebilah pisau lipat berukuran 18 sentimeter, sebatang rotan berukuran 71 sentimeter serta sebuah kereta Toyota Vios bersama kuncinya.

Pemeriksaan ujian air kencing terhadap suspek turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine.

Lebih membimbangkan, suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah, termasuk kesalahan mencederakan orang serta beberapa kesalahan lain.

Siasatan turut mendapati suspek dipercayai kerap bertindak agresif dan pernah mengganggu pekerja serta pelanggan di kedai runcit sekitar Ulu Krian.

Ketika serbuan dijalankan, suspek turut didapati memegang sebilah parang bersarung yang disembunyikan di sebalik pintu, namun tindakan pantas pasukan serbuan berjaya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sebelum suspek diberkas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kes berkenaan kini selesai dengan penahanan suspek dan siasatan lanjut telah dijalankan oleh pihak polis.

Oleh Adi Safarman