KUCHING: Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas membeli roti john di Bazar Ramadan Batu 7 yang disangkanya enak, tetapi rupa-rupanya hanya ‘indah khabar dari rupa’.
Wanita berkenaan, Margaret Kalau, berkongsi pengalamannya di Facebook selepas mendapati roti john yang dibelinya semalam, kononnya berinti ayam dan daging, hanya diisi dengan sos cili, sos tomato, dan mayonis semata-mata.
“Kasihan anak-anak beli roti john di Bazar Ramadan Batu 7. Saya beli dua, iaitu inti ayam dan daging.
“Semasa nak makan, saya potong. Intinya ‘banyak sangat’. Sos cili, sos tomato dan mayonis sahaja, malangnya,” tulisnya.
Margaret turut berseloroh bahawa anjing peliharaannya, Blacky, turut menolak untuk memakan roti john berkenaan.
Kejadian ini mengundang kemarahan ramai netizen yang turut berkongsi pengalaman sama ketika membeli makanan di bazar Ramadan.
Ada yang mendakwa peniaga seperti ini hanya mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan keikhlasan dalam berniaga.
Sebagai peniaga, kejujuran adalah kunci utama untuk mencari rezeki yang halal dan diberkati. Pembeli datang dengan harapan menikmati makanan yang enak, bukan sekadar roti john yang hanya penuh dengan sos tanpa isi yang dijanjikan. Jangan kerana keuntungan sementara, kepercayaan pelanggan tergadai.
Semoga kejadian ini menjadi pengajaran dan peniaga lebih bertanggungjawab dalam menyediakan makanan yang setimpal dengan harga yang dibayar.
Oleh Amanda L.