PETRA JAYA, 25 November: Bawang Assan dan Engkilili antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan perkembangan penting dalam barisan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata parti itu mengemukakan 18 nama calon yang kesemuanya diterima Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk bagi kerusi Batu Lintang dan Engkilili.
Beliau berkata, SUPP turut menampilkan beberapa calon baharu bagi kerusi Padungan, Pending, Batu Lintang, Simanggang dan Bawang Assan.
Antara calon yang diumumkan ialah Wung Duk Ying bagi kerusi DUN N.09 Padungan, See Chee How bagi N.11 Batu Lintang dan Kevin Lau Kor Jie bagi N.53 Bawang Assan, manakala Dato Wee Hong Seng dikekalkan bagi N.10 Pending.
Bagi kerusi Bawang Assan, Kevin menggantikan penyandang terdahulu, Dato Sri Wong Soon Koh, yang memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN N.33 Engkilili, Johnical Rayong Ngipa, diumumkan sebagai calon GPS untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Beliau turut diterima kembali sebagai ahli SUPP.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN kali ini, Dr Sim berkata, fokus utama parti adalah memastikan kemenangan GPS.
“Fokus kita adalah untuk memastikan GPS menang. Seperti yang dinyatakan Premier, semua calon ini merupakan calon GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
Dr Sim berkata, semua calon perlu bekerja keras dan mendapatkan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan Sarawak terus stabil, bersatu serta meneruskan agenda pembangunannya.
Beliau turut menegaskan kepentingan perpaduan masyarakat sebagai asas kestabilan Sarawak, khususnya ketika negeri itu meneruskan usaha mencapai matlamat pembangunan menjelang 2030.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pemimpin yang memilih untuk bersara, khususnya Dato Francis Harden Hollis, atas khidmat bakti lebih 30 tahun kepada penduduk Simanggang serta kesetiaan beliau kepada SUPP.
Oleh Adele Rissa



