Cerisologo sasar pembangunan sosioekonomi, infrastruktur Pelagus secara berperingkat

Facebook
WhatsApp
CERISOLOGO Sabut ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

PETRA JAYA, 25 November: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Pelagus, Cerisologo Sabut, bertekad memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi, infrastruktur dan kemudahan utiliti di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Berusia 58 tahun, Cerisologo yang mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi kerusi N.61 Pelagus bakal membuat penampilan sulung sebagai calon pada PRN Sarawak ke-13, berbekalkan pengalaman 33 tahun dalam perkhidmatan awam termasuk enam tahun setengah sebagai Pegawai Daerah Kapit.

Beliau turut mempunyai pengalaman berkhidmat di Pejabat Daerah Kanowit selama kira-kira setahun, selain pernah bertugas di beberapa kementerian sepanjang kerjayanya dalam sektor kerajaan.

Menurutnya, pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan serta pengetahuannya mengenai keadaan setempat menjadi antara kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk merancang pembangunan Pelagus secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Beliau berkata, pendekatan awal yang akan dilaksanakan adalah turun padang bagi mendapatkan maklum balas serta berbincang dengan ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan di kawasan berkenaan.

“Perkara pertama yang akan saya lihat ialah pembangunan sektor sosioekonomi di Kapit. Itu merupakan perkara yang perlu diberi perhatian, selain infrastruktur dan kemudahan utiliti.

“Saya akan turun padang dan berbincang dengan ketua masyarakat, NGO serta semua pihak berkaitan di peringkat Pelagus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Cerisologo berkata, perancangan pembangunan kawasan itu akan dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu jangka pendek dalam tempoh satu hingga dua tahun, jangka sederhana sekitar tiga tahun dan jangka panjang antara lima hingga 10 tahun.

Katanya, perancangan berasaskan data amat penting bagi memastikan setiap keperluan masyarakat dikenal pasti dengan tepat, sekali gus membolehkan pembangunan dilaksanakan secara inklusif dan mengikut keutamaan.

Sehubungan itu, beliau berhasrat menjalin kerjasama rapat dengan agensi kerajaan serta kementerian bagi mendapatkan maklumat dan menyelaras pelaksanaan perancangan pembangunan yang diperlukan.

“Sekiranya kita mahu membuat perancangan yang inklusif, kita mesti mempunyai data. Saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan semua agensi kerajaan dan kementerian.

“Saya percaya ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan yang diperoleh sepanjang 33 tahun berkhidmat dengan kerajaan dapat membantu saya membangunkan Pelagus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan dasar serta polisi pembangunan kerajaan sedia ada sudah menyediakan asas yang kukuh untuk meneruskan pembangunan kawasan berkenaan.

Justeru, beliau berharap pengundi Pelagus memberikan sokongan kepada GPS bagi membolehkan kesinambungan agenda pembangunan kerajaan diteruskan.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, komuniti dan kepimpinan setempat bagi memastikan Pelagus dapat dibangunkan secara menyeluruh.

“Saya percaya dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, Pelagus dapat dibangunkan mengikut sektor-sektor yang akan kita rancang, sekali gus menjadi kawasan yang maju setanding dengan kawasan lain,” katanya.

Oleh Afiq Sallehi