
LUNDU: Majlis Tilawah Al-Quran bukan sekadar acara keagamaan, tetapi wahana penting dalam memperkukuhkan pembangunan rohani seiring kemajuan fizikal negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, aspirasi ‘Sarawak Maju Makmur’ hanya dapat direalisasikan apabila rakyat memiliki keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kekuatan sahsiah yang berpandukan nilai agama.
“Al-Quran harus dijadikan panduan dalam membina negeri yang bukan sahaja maju, tetapi juga berakhlak dan sejahtera,” katanya semasa berucap pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lundu 1446H/2025M di sini, semalam.
Beliau turut menggesa agar semangat membaca dan menghayati al-Quran terus diperkasakan melalui program seperti ini, agar nilai-nilai murni dapat disemai dalam masyarakat pelbagai lapisan.
Katanya, penyertaan para qari dan qariah bukan sekadar pertandingan, tetapi satu amanah dalam menyampaikan kalam Allah SWT dengan penuh penghayatan.
Azizul turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Lundu, Jabatan Agama Islam Bahagian Lundu dan semua pihak terlibat atas penganjuran majlis yang berjaya mengumpulkan komuniti dalam suasana penuh keinsafan dan ilmu.
“Majlis seperti ini mencerminkan aspirasi kita untuk menjadikan Lundu dan Sarawak amnya, bukan sahaja maju dari segi material, tetapi juga makmur dari segi spiritual,” tambah beliau. – UKAS