PAKAN: Program kesedaran dan saringan kesihatan perlu diperbanyakkan di peringkat komuniti bagi membolehkan masyarakat memahami kepentingan menjaga kesihatan serta mengambil langkah awal dalam memelihara kesejahteraan diri.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, tahap kesihatan yang baik merupakan asas penting yang membolehkan seseorang terus memainkan peranan dan menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan.
“Kesihatan merupakan perkara yang sangat penting kepada manusia. Melalui kesihatan yang baik, kita dapat terus menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan.
“Justeru, saya berharap lebih banyak aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada komuniti mengenai betapa pentingnya penjagaan kesihatan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata demikian pada Program Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita dan Saringan Kesihatan anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pakan di Rumah Janting, Jalan Wak Enturong Lemujan, semalam.

Mawan turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kesihatan atas sumbangan dan komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Katanya, program yang membawa perkhidmatan dan maklumat kesihatan lebih dekat kepada komuniti mempunyai impak besar kerana mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
“Saya sedia membantu dan memberikan sokongan penuh kepada program seumpama ini yang mempunyai impak besar kepada komuniti, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap kerjasama antara petugas kesihatan, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pakan dan masyarakat setempat dapat diteruskan bagi memperluaskan pelaksanaan program kesihatan di kawasan Pakan.
Mawan turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pakan dan RM10,000 kepada Klinik Kesihatan Pakan.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM100,000 turut disalurkan kepada Rumah Janting bagi melaksanakan kerja menyimen halaman rumah panjang berkenaan.
Kesemua peruntukan berjumlah RM120,000 disalurkan menerusi projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Pakan bagi menyokong keperluan komuniti dan pelaksanaan program berkaitan di kawasan tersebut.
Oleh Earl Anek




