SARIKEI: Peluang mendapatkan pendidikan yang baik perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda untuk membina masa depan, di samping menghargai pengorbanan keluarga dan jasa generasi terdahulu.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pendidikan merupakan antara aspek penting dalam membentuk generasi berilmu dan berkemampuan untuk menghadapi masa depan.
Pada masa sama, katanya, kemajuan dalam pendidikan perlu bergerak seiring dengan usaha mempertahankan nilai kekeluargaan, menghormati warga emas dan mengenang jasa nenek moyang.
“Persatuan Klan Wong (Nue Ding) Sarawak menjadi antara wadah yang memelihara semangat mengenang jasa nenek moyang, menghormati ibu bapa dan warga emas serta memastikan nilai-nilai murni ini terus diwarisi dari satu generasi kepada generasi seterusnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian pada majlis sambutan Perayaan Hari Kuih Bulan, Majlis Penghargaan Warga Emas dan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang anjuran Persatuan Klan Wong (Nue Ding) Sarawak malam tadi.
Katanya, usaha membangunkan masyarakat juga perlu merangkumi penyediaan kemudahan dan prasarana yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat tanpa mengira sama ada mereka tinggal di bandar, luar bandar atau rumah panjang.
Sehubungan dengan itu, katanya, usaha membawa pembangunan akan diteruskan termasuk meningkatkan kemudahan sekolah serta prasarana asas bagi memastikan masyarakat dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan selamat.
Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sektor pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Pelaburan berterusan dalam pendidikan dan kebajikan telah memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak untuk mendapat pendidikan yang baik, manakala golongan warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah cemerlang dan berharap pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuk mereka terus meningkatkan pencapaian dalam pelajaran.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya menghargai pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang memainkan peranan penting dalam menyokong perjalanan pendidikan mereka.
“Ganjaran ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi merupakan tanda harapan dan dorongan daripada golongan yang lebih tua supaya anak-anak terus menghargai masa belajar dan mencapai kejayaan,” katanya lagi.
Tambahnya, pengiktirafan terhadap pencapaian pendidikan bukan sahaja meraikan kejayaan seseorang pelajar, malah menjadi galakan kepada generasi muda untuk terus berusaha mengembangkan potensi diri.
Pada majlis tersebut, Huang turut menyumbang sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Klan Wong (Nue Ding) Sarawak bagi membantu pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan.
Oleh Earl Anek



