Lelaki warga asing ganggu penumpang di KLIA Terminal 1 disyaki kurang siuman

Facebook
WhatsApp
TANGKAP layar video tular seorang lelaki warga Bangladesh berkelakuan agresif dan mengganggu penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) pada 17 September lalu.

SEPANG: Seorang lelaki warga Bangladesh yang berkelakuan agresif dan mengganggu penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) pada 17 September lepas disyaki kurang siuman.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP M. Ravi berkata lelaki berkenaan telah bertindak menjerit dengan nada yang tinggi dan mengganggu penumpang di kaunter syarikat penerbangan di KLIA Terminal 1 pada 4.40 petang.

“Pihak kawalan keselamatan terminal yang hadir ke tempat kejadian bagi menenangkan keadaan telah membawa suspek ke Balai Polis Terminal 1 untuk tindakan selanjutnya.

“Semasa tempoh bertenang, suspek dilihat tidak dapat mengawal diri dan bertindak agresif. Suspek kemudiannya telah dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di Wad Psikiatrik untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan yang dijalankan mendapati lelaki berumur 26 tahun itu dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Bangladesh pada 10.20 malam hari kejadian.

“Pihak kedutaan juga telah dimaklumkan berkaitan dengan kejadian ini,” katanya.

Ravi menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan sebarang berita tidak benar yang boleh menyebabkan berlakunya kegusaran di tempat awam, khususnya semasa berada di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.- Bernama