Pertandingan memancing jana ekonomi setempat, perkukuh komuniti

Facebook
WhatsApp
ANTARA yang menyertai pertandingan GP Belawai Siri 2/2026 pada hari ini. Foto UKAS

TANJUNG MANIS: Penganjuran pertandingan memancing bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah mampu merancakkan ekonomi setempat, memperkukuh hubungan komuniti serta memperkenalkan keindahan kawasan pesisir kepada pengunjung luar.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, kehadiran peserta dalam pertandingan seperti GP Belawai Siri 2/2026 turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, termasuk pengusaha kedai makan, kedai umpan dan inap desa

“Pertandingan sebegini membawa impak positif yang meluas melampaui sekadar aktiviti rekreasi.

“Menjadi platform untuk penduduk setempat dan peserta luar berinteraksi, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan komuniti.

“Kehadiran ramai peserta membantu peniaga kecil di kawasan sekitar, seperti kedai makan, kedai umpan, dan inap desa” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada GP Belawai Siri 2/2026 anjuran Jabatan Perikanan Laut Malaysia dan Iftitah Restaurant & Resort di Pantai Iftitah, Belawai, hari ini.

Katanya, ia juga menjadi medium untuk memperkenalkan keindahan alam semula jadi dan kawasan rekreasi tempatan kepada masyarakat luar.

AHLI Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab menyaksikan GP Belawai Siri 2/2026. Foto UKAS

“Memancing bukan sekadar mencari ikan, tetapi ia adalah seni menguji ketenangan jiwa dan strategi.

“Kepada semua peserta, terima kasih kerana menjadi peserta dan memeriahkan acara pertandingan pada hari ini. Ingatlah, tangkapan yang besar itu satu bonus, tetapi ukhuwah dan ketenangan yang kita dapat,” katanya.

Dalam pada itu, Yusuf mengingatkan peserta supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan ketika berada berhampiran kawasan perairan, termasuk berwaspada terhadap kemungkinan kehadiran buaya.

“Jangan terlalu ghairah mengejar tangkapan sehingga mengabaikan keselamatan diri.

“Jaga-jaga tentang kehadiran binatang seperti buaya dalam air,” katanya.

Beliau turut menyeru pemancing mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap kebersihan dengan tidak meninggalkan sampah, tali tangsi, botol minuman atau sisa umpan di kawasan pertandingan.

“Sikap ‘pemancing budiman’ adalah mereka yang membawa pulang sampah mereka sendiri. Jangan biarkan tali tangsi, botol minuman, atau sisa umpan mencemari kawasan perairan kita,” katanya lagi.

Aspek kelestarian sumber perikanan turut ditekankan dengan peserta digalakkan melepaskan semula tangkapan yang tidak memenuhi saiz sesuai atau merupakan spesies dilindungi.

“Jika ikan yang ditangkap tidak memenuhi saiz atau merupakan spesies yang dilindungi, lepaskanlah ia semula.

“Ini penting bagi memastikan ekosistem ikan kita tidak pupus untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Yusuf turut mengingatkan peserta supaya menjaga adab ketika memancing dan mengelakkan tindakan yang boleh mengganggu peserta lain sepanjang pertandingan.

“Sentiasa jaga adab sesama pemancing. Elakkan membaling tali sehingga bersilang dengan peserta lain dan sentiasa bertukar pendapat dengan cara yang harmoni,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas usaha memastikan keselamatan dan kelancaran GP Belawai Siri 2/2026.

Oleh Earl Anek