MIRI: Murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Miri, Voon Sen Yu dan bekas murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu, Katerina Cheria Jambai masing-masing dinobatkan sebagai Ikon Murid SERASI (Sekolah Rakan Alam Sekitar) yang pertama di Sarawak.
Dengan penobatan ikon itu, kedua-dua mereka masing-masing menerima sijil dan wang tunai RM500.
Manakala, Anugerah Guru SERASI dimenangi oleh Kho Ling Hua dari SJK (C) Chung Hua Pujut Miri dan Hii Yii Sing dari SMK Bandar Sibu dan kedua-duanya masing-masing membawa pulang sijil dan wang tunai RM1,000.
Anugerah Harapan SERASI pula dimenangi oleh SJK Chung Hua Pangkalan Baru, Padawan dan SMK Bukit Assek Sibu sekali gus kedua-duanya masing-masing membawa pulang hadiah berupa piala, sijil dan wang tunai RM2,000.
Manakala Anugerah SERASI dimenangi SJK (C) Chung Hua Miri dan SMK Pending, Kuching.
Kedua-duanya masing-masing membawa pulang piala, sijil dan wang tunai RM4,000.
Sementara itu, bagi Anugerah Khas Bintang Serasi pula jatuh kepada SJK (C) Chung Hua Pujut, Miri dan SMK Bandar Sibu dengan kedua-duanya membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, sijil dan wang tunai RM5,000.
SK Telahak Limbang dan SMK Semerah Padi Kuching pula, masing-masing memenangi Anugerah Projek SERASI dengan kedua-duanya masing-masing membawa pulang sijil dan wang tunai RM1,000.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyampaian Anugerah SERASI 2018/2019 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Hadir sama pada majlis Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli , Datu Len Talif Salleh dan Kontroler Kualiti Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Justine Jok Jau Emang.
Program SERASI ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR), NREB dan Shell Malaysia.
Terdahulu, Justine Jok dalam ucapannya berkata, penyertaan Anugerah SERASI pada sesi kali ini disertai sebanyak 608 sekolah.
Katanya, antara objektif penganjuran Anugerah SERASI ialah mengiktiraf dan menghargai usaha berterusan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam pendidikan dan penjagaan alam sekitar.
Selain itu, beliau berkata, penganjuran anugerah ini dapat membudayakan amalan positif dan nilai cintakan alam sekitar dalam kalangan murid dan masyarakat setempat.
“Anugerah SERASI memberi penekanan dalam pelbagai aspek di sekolah,antaranya bidang pengurusan alam sekitar, kokurikulum, penghijauan, kebersihan,keindahan, kreativiti dan inovasi sekolah.
“Dengan itu, ia akan mewujudkan sekolah mesra alam sekitar yang kondusif sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya mampu mempengaruhi komuniti sekolah lain serta masyarakat luar demi memastikan pembangunan mampan di Sarawak,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling