MATURIN, Venezuela: Salomon Rondon meraih gol penyamaan babak kedua membantu Venezuela mengikat Argentina 1-1 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan pagi tadi manakala Bolivia yang beraksi 10 pemain mengejutkan Colombia 1-0.
Kembalinya Lionel Messi dalam kesebelasan utama Argentina dilihat memacu juara dunia itu dalam laluan kemenangan apabila sepakan percuma bintang Inter Miami itu menyaksikan gol pembukaan oleh Nicolas Otamendi selepas 13 minit.
Bagaimanapun persembahan bersemangat Venezuela di depan penyokong mereka di Maturin berbaloi pada pertengahan babak kedua apabila Rondon, 35, menanduk masuk hantaran silang Yeferson Soteldo melepasi jangkauan penjaga gol Argentina, Geronimo Rulli.
Sekalipun mencicirkan mata, juara Piala Dunia 2022, Argentina tetap menjadi pilihan untuk merebut tempat ke pusingan akhir 2026, yang dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Dengan kejohanan itu diperbesarkan kepada 48 pasukan, enam pasukan teratas dari 10 negara Amerika Selatan layak mendapat tiket automatik ke pusingan akhir.
Argentina mendahului carta dengan 19 mata dari sembilan perlawanan, tiga mata di depan pasukan tangga kedua Colombia, yang mengalami kekalahan mengejut 1-0 di tangan Bolivia pagi tadi.
Bolivia bangkit daripada kehilangan pemain tengah Hector Cuellar pada babak pertama kerana dibuang padang untuk meraih kemenangan dalam udara nipis di El Alto, yang terletak kira-kira 4,150 meter di atas paras laut.
Gol individu memukau daripada Miguel Terceros membantu Bolivia meraih kemenangan keempat pada kempen kelayakan sekali gus melonjak mereka ke posisi kelayakan secara automatik.
Nasib Bolivia berubah secara dramatik sejak pasukan itu mula bermain aksi kelayakan di El Alto, yang lebih tinggi 500m berbanding gelanggang biasa mereka di Estadio Hernando Siles di La Paz.
Bolivia memilih untuk mengubah perlawanan ke El Alto selepas kalah dua perlawanan pertama mereka di laman sendiri di La Paz tahun lalu. – AFP