HOUSTON, Amerika Syarikat, 18 November: Pihak berkuasa imigresen Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bekas juara dunia tinju, Jorge Linares, masih ditahan dan berdepan prosiding pengusiran dari negara itu.
Petinju Venezuela berusia 41 tahun yang pernah merangkul tiga gelaran juara dunia itu ditahan oleh pihak berkuasa di El Paso, Texas.
“Beliau akan kekal dalam tahanan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) sementara menunggu prosiding pengusiran,” menurut kenyataan agensi itu.
Linares sebelum ini mengumumkan penahanannya menerusi satu hantaran di media sosial.
“ICE telah menahan saya di El Paso, Texas. Ini tidak masuk akal,” tulis Linares menerusi platform X. Beliau tidak membuat sebarang hantaran sejak itu.
Peguam yang mewakili petinju berkenaan berkata bahawa Linares mempunyai kebenaran untuk berada di Amerika Syarikat.
” Linares mempunyai kebenaran untuk berada di Amerika Syarikat dan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa imigresen,” menurut firma guaman Wilner & O’Reilly.
“Kami sedang berhubung dengan ICE dan berusaha menyelesaikan perkara ini secepat mungkin. Urusan imigresen tertakluk pada prosedur yang ditetapkan dan proses tersebut memerlukan masa.
“Kami yakin dengan kedudukan Linares dan memohon para peminat, pihak media serta orang ramai supaya bersabar sementara perkara ini diselesaikan.”
Linares, yang secara meluas dianggap sebagai antara petinju paling berbakat dalam generasinya, memenangi gelaran juara dunia dalam tiga kategori berat, iaitu kelas bulu, bulu super dan ringan sepanjang karier selama 21 tahun.
Dikenali dengan gelaran “The Golden Boy”, petinju Venezuela itu meraih gelaran juara dunia pertamanya pada 2007.
Beliau kemudian memegang gelaran kelas bulu super Persatuan Tinju Dunia (WBA) dari 2008 hingga 2009, selain gelaran kelas ringan WBA dan Majlis Tinju Dunia (WBC) dari 2014 hingga 2018.
Linares mengumumkan persaraannya pada 2023 selepas tewas kepada petinju Britain, Jack Catterall, dalam pertarungan di Liverpool. Beliau menamatkan karier dengan rekod 47 kemenangan, termasuk 29 menerusi kalah mati, dan sembilan kekalahan. – AFP




