LONDON, 18 November: Bekas pemain tengah Manchester United Juan Mata mengumumkan persaraannya daripada bola sepak, lapor PA Media/dpa.
Pemain berusia 38 tahun itu merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia pada 2010 dan Kejohanan Eropah pada 2012, selain beraksi dalam 285 perlawanan bagi semua pertandingan bersama Manchester United antara 2014 hingga 2022.
Beliau memenangi Piala FA bersama skuad The Red Devils pada 2016 dan Liga Europa pada tahun berikutnya, selepas turut memenangi Piala FA dan Liga Juara-Juara bersama Chelsea pada 2012.
Mata memuat naik video yang menunjukkan beliau menggantung but sebagai simbol persaraan di platform media sosial X, dengan menulis: “Kadangkala, mencintai bermakna melepaskan. Terima kasih, bola sepak.”
Mata turut menjadi pengasas bersama inisiatif Common Goal pada 2017, yang menggalakkan mereka yang terbabit dalam industri bola sepak berikrar menyumbangkan satu peratus daripada pendapatan masing-masing kepada projek komuniti.
Beliau mula mencipta nama dalam bola sepak peringkat senior bersama Valencia sebelum menyertai Chelsea pada 2011.
Selepas meninggalkan United, beliau menyertai kelab Turkiye, Galatasaray bagi musim 2022-23 sebelum menghabiskan setahun di Jepun bersama Vissel Kobe.
Beliau menghabiskan dua musim terakhir di Australia bersama Western Sydney Wanderers dan Melbourne Victory.- Bernama-PA Media/dpa




