KABONG, 18 November: Tindakan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun melarikan tiga set mesin gerudi dari sebuah rumah dalam pembinaan di Kabong membawa padah apabila berjaya ditahan polis, sekali gus membawa kepada penyelesaian kes kecurian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji di Kabong pada Isnin lalu.
Menurut beliau, kejadian itu disedari pengadu, seorang lelaki berusia 25 tahun, selepas mendapati tingkap bahagian hadapan dan pintu belakang rumah tempatnya bekerja berada dalam keadaan terbuka.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa peralatan pembinaan telah hilang, termasuk dua set mesin gerudi jenama Sonco, satu set mesin gerudi jenama Dong Cheng serta sebuah beg peralatan (tool bag).
“Jumlah kerugian akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira RM800,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil siasatan mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut pada 15 November lalu.
dengan memasuki rumah berkenaan melalui tingkap yang telah dilonggarkan bahagian pembukanya.
Suspek turut mengaku merosakkan penutup tingkap menggunakan tangan sebelum mengambil kesemua mesin gerudi berkenaan dan keluar melalui pintu belakang.
Lebih mengejutkan, kesemua barangan yang dicuri itu dibawa pulang dan disimpan di dalam sebuah bilik di kediamannya di kawasan Perumahan Baru Kabong.
Suspek dipercayai berniat menjual mesin gerudi berkenaan pada harga murah kepada mana-mana individu yang berminat.
Semakan polis mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan pada 1992, yang kedua-duanya telah dijatuhi hukuman.
Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap turut mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta pengambilan minuman keras.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihak polis memaklumkan bahawa kes berkenaan telah selesai hasil tindakan pantas pasukan siasatan.
Oleh Adi Safarman




