CARDIFF, United Kingdom, 18 November: Portugal mengetepikan tentangan sengit Wales serta isu persaraan Cristiano Ronaldo daripada pentas antarabangsa apabila mencatat kemenangan 3-2 di Cardiff, sekali gus mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A4 Liga Negara-Negara.
Bruno Fernandes, Pedro Neto dan Carlos Forbs masing-masing menjaringkan gol buat pasukan kendalian Jorge Jesus itu untuk bangkit daripada kekalahan besar 1-4 di laman sendiri kepada Denmark.
Keputusan tersebut kembali menghangatkan perbincangan mengenai keputusan Ronaldo menamatkan kerjaya antarabangsa selama 23 tahun susulan perselisihannya dengan Jesus.
Bagaimanapun, Portugal memenangi lima daripada enam perlawanan sejak Jesus mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada penghujung Piala Dunia.
Wales, yang sudah mengesahkan kedudukan tercorot kumpulan, memulakan perlawanan dengan aksi yang mengecewakan.
Joao Neves merampas bola daripada Josh Sheehan sebelum membuat hantaran kepada kapten Manchester United, Fernandes, yang meledakkan rembatan ke penjuru atas gawang pada minit ke-11.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan lebih seminit apabila David Brooks menyudahkan peluang dengan rembatan ke penjuru jauh selepas percubaan awal Harry Wilson berjaya ditepis penjaga gol Portugal, Diogo Costa.
Portugal menguasai sebahagian besar permainan, namun terus memberi ruang kepada Wales untuk mencipta beberapa peluang berbahaya menerusi serangan balas pantas. Wilson sekali lagi dinafikan oleh Costa.
Sorba Thomas kemudian melakukan larian pantas dari kawasan sendiri sebelum meletakkan pasukan kendalian Craig Bellamy di hadapan hasil hantaran Brooks.
Bagaimanapun, Wales gagal mempertahankan kelebihan itu apabila Neto pantas menyambar bola di tiang jauh untuk menyamakan kedudukan.
Dalam aksi yang penuh dramatik itu, pemain sayap Chelsea berkenaan kemudian hampir menambah jaringan menerusi gerakan individu menarik, namun percubaannya terkena tiang gol.
Pemain gantian, Forbs, muncul wira Portugal apabila menjaringkan gol antarabangsa pertamanya selepas menyambar bola yang gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh Ben Cabango menerusi tandukan.
Portugal terpaksa mengharungi baki 15 minit perlawanan dengan kekurangan seorang pemain selepas Neto dilayangkan kad kuning kedua akibat melakukan dua terjahan keras dalam tempoh kurang dua minit.
Namun, Portugal berjaya mempertahankan kelebihan itu, sekali gus melegakan Jesus yang berdepan pelbagai soalan pada sidang media praperlawanan berhubung kritikan ibu Ronaldo, Dolores Aveiro.
Portugal akan berdepan salah satu daripada Belanda, Belgium atau Sepanyol pada peringkat suku akhir berdasarkan keputusan undian yang akan berlangsung pada Jumaat.
Norway turut mara ke suku akhir selepas bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Denmark 3-2 dan meraih tempat kedua kumpulan berdasarkan kelebihan rekod pertemuan. – AFP




