KOTA SAMARAHAN: Ernest Chai Oi Khun mencipta sejarah sebagai graduan tertua yang menerima ijazah Sarjana pada Majlis Konvokesyen ke-28 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), hari ini.
Beliau berusia 76 tahun dari berasal dari Matang, Kuching berkata, keinginannya untuk menghadapi cabaran baru mendorongnya untuk mendapatkan ijazah sarjana kedua dalam pengurusan teknologi maklumat.
Chai kini memiliki dua ijazah sarjana, salah satunya diperoleh dari Universiti Edinburgh, Scotland.
“Saya percaya sesiapa sahaja boleh berjaya jika memiliki motivasi dan sanggup berusaha.
“Keinginan untuk memperoleh ijazah sarjana kedua ini didorong oleh minat saya dalam teknologi maklumat (IT) dan hasrat untuk menambah pengetahuan baru.
“Saya percaya bahawa pembelajaran merupakan satu proses pendidikan yang berlangsung sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui wartawan, hari ini.
Chai, yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan Jabatan Perhutanan berkata, kekurangan latar belakang dan asas dalam bidang pengkomputeran tidak menghalang beliau untuk melanjutkan pengajian dalam bidang komputer.
“Saya merasakan bahawa perjalanan ini memberikan kepuasan diri, kerana banyak projek yang memerlukan saya untuk bekerja secara bebas dan hal ini mendorong saya untuk mencari maklumat dalam talian,” katanya.
Tambah Chai, pengetahuan dalam bidang pengkomputeran merupakan asas yang penting untuk masyarakat masa kini, berikutan kepentingannya yang selaras dengan perkembangan global.
“Hari ini, kita dikelilingi oleh teknologi digital dan kita beruntung kerana mempunyai akses yang mudah kepada internet. Selagi ada wi-fi di rumah atau telefon bimbit, kita dapat melakukannya.
“Oleh itu, pada pandangan saya, jika saya boleh melakukannya, pasti anda semua juga boleh kerana semuanya bergantung kepada motivasi diri,” katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat beberapa kali beliau bercadang untuk berhenti belajar, tetapi sokongan daripada isteri dan anak-anaknya menjadi pendorong untuk terus berusaha.
Menurut Chai, pengalaman beliau di UNIMAS juga dipermudahkan oleh sokongan pensyarah dan inisiatif diskaun yuran 50 peratus bagi pelajar berusia 60 tahun ke atas, yang menggalakkan warga emas mengejar cita-cita pendidikan.
Beliau berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, serta menunjukkan bahawa tidak pernah terlambat untuk mengejar cita-cita.
Untuk rekod, pada konvokesyen ke-28 ini, seramai 617 graduan yang terdiri daripada penerima ljazah Sarjana Kedoktoran, ljazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah menerima skrol yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.