KUALA LUMPUR: Hampir empat jam beraksi, namun terasa seakan-akan belum cukup untuk melunaskan kerinduan kira-kira 20,000 peminat terhadap legenda rock tanah air, Datuk Awie, yang kembali ke pentas solo selepas dua tahun menerusi Konsert Awie Rock King – The Last Man Standing 2026 di Stadium Merdeka, Sabtu lalu.
Konsert yang sepatutnya berakhir pada tengah malam itu akhirnya dilanjutkan 45 minit lagi, seolah-olah peminat masih belum bersedia melepaskan penyanyi berusia 58 tahun itu pulang selepas disajikan dengan 35 karya yang merentasi empat dekad perjalanan seninya.
Daripada era kegemilangannya bersama Wings hingga perjalanan solo, Awie membawa peminat menyusuri semula detik-detik yang membentuk dirinya sebagai antara figura penting dalam persada rock tanah air.
Lebih mengagumkan, tenaga Awie seakan-akan tidak mengenal waktu apabila beliau kekal bertenaga hingga penghujung persembahan walaupun sedang berdepan masalah bronkitis buat kali kedua akibat jerebu yang menjejaskan kesihatan paru-parunya.
“Anda okey? Saya yang tak okey. Tak apa, kita teruskan. Keluarkan suara!” katanya yang disambut sorakan gemuruh peminat.

Tampil segak dalam sut serba putih lengkap dengan bandana yang menghiasi mikrofon, Awie membuka tirai persembahan dengan Sayap Ilusi sebelum meneruskan rentak menerusi Rock N Roll Ronda Randa, Mata Hati Jiwa, Tiada Rahsia Antara Kita, Di Bayang Awan dan O-Tak.
Malam itu bukan sekadar perjalanan muzik Awie, tetapi turut menjadi ruang buatnya berkongsi pentas dengan insan istimewa dalam kehidupan dan kerjaya seninya.
Putera kesayangannya, Merrah, tampil bersama pasangan duetnya, Putri, menerusi Baldu Biru dan Bernafas Dalam Lumpur, mencetuskan antara momen manis pada malam berkenaan.
Pentas kemudian terus meriah dengan kemunculan Stacy, Akim dan Black yang masing-masing bergandingan dengan Awie menerusi Peronda Jaket Biru, Midnight Blues, Ingatkan Dia dan Intanku Kesepian.
Namun, di sebalik bunyi gitar dan rentak rock yang mendominasi malam itu, Awie turut membuka sisi lebih peribadinya menerusi Tragedi Oktober, lagu yang pernah dikaitkan dengan gosip percintaannya suatu ketika dahulu.

“Saya rasa tak nak nyanyi lagu itu, tapi kena nyanyi juga,” katanya sebelum suasana stadium bertukar lebih syahdu apabila lagu berkenaan dialunkan.
Segmen Cinta dan Filem kemudiannya membawa peminat ke sisi romantik Awie apabila rakan duet yang cukup sinonim dengannya, Erra Fazira, muncul menerusi Cinta Makrifat, disusuli Hannah Delisha dengan Halaman Asmara dan Kita Permata.
Memasuki segmen penghormatan Last Man Standing, suasana kembali syahdu apabila Awie mengalunkan karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeritan Batinku, sebelum Datuk Hattan menyertainya menerusi Gerhana dan Kepadamu Kekasih sebagai penghormatan kepada insan seni yang telah pergi.
Namun, kesayuan itu tidak bertahan lama apabila rentak kembali rancak menerusi Layang-Layang Terputus Talinya dan Ku Di Halaman Rindu sebelum Amir Masdi tampil bersama Awie menerusi Gemuruh dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Di tengah-tengah kemeriahan itu, satu lagi momen mencuri perhatian apabila laungan “Free, Free Palestine” bergema di seluruh Stadium Merdeka dan disambut ribuan peminat sebagai tanda sokongan kepada Palestin.

Ketika malam menghampiri penghujungnya, Awie akhirnya kembali ke akar perjalanan rock yang membina namanya apabila Wings muncul untuk berkongsi pentas dengannya.
Opera Hidup, Hukum Karma, Harapan dan Sejati bergema satu demi satu, membuatkan ribuan peminat mengangkat simbol ‘W’ sambil menyanyi bersama-sama, seolah-olah Stadium Merdeka kembali ke era ketika Awie dan Wings mengukir nama dalam sejarah rock tanah air.
Empat jam mungkin terasa panjang, tetapi bagi peminat yang bertahan hingga tirai benar-benar ditutup, malam itu masih terasa singkat.
Awie mungkin bergelar The Last Man Standing, namun selepas hampir empat dekad, satu perkara jelas — jiwa rock yang dibawanya masih belum mahu berundur. – Bernama





