
SARATOK: Sukan pangkah gasing merupakan salah satu daripada sukan tradisional yang perlu dipertahankan agar ia tidak dilupakan generasi yang akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata sukan tradisi ini menjadi tarikan pengunjung yang hadir dan perlu dipertahankan kerana ia merupakan sukan tradisi yang berasal dari negara ini sendiri.
Katanya, permainan pangkah gasing ini bukan sahaja diceburi oleh golongan dewasa, malah turut melibatkan golongan belia dan kanak-kanak agar sukan ini kelak akan diwarisi turun temurun.
“Sukan atau permainan tradisional gasing ini masih terus dimainkan dan sering disertai oleh semua peringkat usia walaupun banyak sukan moden telah wujud pada masa kini.
“Sememangnya saya menyokong penuh aktiviti sukan seperti ini untuk memperkenalkan dan memajukan kegemilangan permainan tradisional seperti gasing untuk tatapan generasi baharu terutama menarik minat golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Pangkah Gasing Kalaka yang telah berlangsung di Gelanggang Kenyalang Kampung Tanjung Hulu Saratok, semalam.
Mohamad Duri berkata permainan tradisional ini tetap popular dan tidak dilupakan, dan menjadi satu kebanggaan apabila semua peringkat umur peminat gasing iaitu golongan belia dan orang lama masih lagi aktif dan meminati permainan tradisional ini
“Ini membuktikan permainan tradisional masih ada peminatnya tersendiri apabila penyertaan pertandingan tahun ini turut disertai oleh peminat pangkah gasing dari Sri Aman, Debak dan Spaoh.
“Permainan gasing tradisional ini perlu dianjurkan secara kerap atau berterusan bagi memastikan khazanah budaya yang penuh bernilai ini sentiasa kekal terpelihara dan diteruskan oleh generasi muda masa kini dan akan datang,” katanya.
Oleh itu, tambah Mohamad Duri usaha mempromosikan semula permainan gasing ini wajar diperhebatkan supaya ia tidak ditelan zaman kerana permainan tradisional ini adalah khazanah bangsa yang wajar dipulihara.
Beliau menambah Pertandingan Pangkah Gasing Kalaka akan dilangsungkan pada Jun nanti dan menjadi salah satu pengisian penganjuran Pesta Saratok pada tahun ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Timbalan Ketua Cawangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Kalaka Kaunselor Kasdi Pandi serta ketua-ketua kaum.
Oleh Adi Safarman