PETRA JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan terdapat ahli Parlimen yang kurang pendidikan sehingga sama sekali tidak memahami bahawa Malaysia mempunyai Waad Nasional yang merangkumi persetujuan pembentukan Tanah Melayu pada 1957 dan Malaysia pada 1963.
Beliau berkata pemahaman terhadap sejarah serta persetujuan yang dicapai pemimpin terdahulu penting bagi memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dilihat sebagai urusan antara satu wilayah dengan wilayah lain, sebaliknya sebagai tanggungjawab nasional.
“Dan kadang-kadang terkeluar dari beberapa perdebatan ahli-ahli Parlimen yang kurang pendidikan… ya… sama sekali tidak faham bahawa negara ini mempunyai Waad Nasional, Tanah Melayu 1957, Malaysia ’63. Itu waad kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.
Tambah Anwar, MA63 mempunyai kaitan langsung dengan Waad Nasional kerana ia merupakan janji dan persetujuan pemimpin terdahulu untuk memperkukuh ikatan dalam pembentukan Malaysia.
“Kalau ditanya tentang MA63, itu terikat dengan waad. Kita sudah berjanji. Bapa-bapa kita dahulu telah memutuskan untuk memperkuat ikatan ini.
“Sebab itu kita ambil serius meneliti, menelaah keputusan-keputusan terdahulu,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa MA63 perlu dilihat sebagai tanggungjawab nasional dan bukan semata-mata urusan Sabah dan Sarawak.
“Saya telah tekankan bahawa dalam pimpinan saya MA63 itu Waad Nasional, tanggungjawab nasional, mesti dijawab secara nasional,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kepimpinan hari ini mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan persetujuan dan janji yang dibuat pemimpin terdahulu, termasuk memastikan pembangunan yang dipersetujui terus dilaksanakan.
Beliau memberi contoh Lebuh Raya Pan Borneo yang menurutnya merupakan antara janji pemimpin terdahulu yang perlu diteruskan.
“Mereka ketinggalan, jalannya lubang-lubang, Pan Borneo mesti disiapkan. Itu bukan janji saya, itu janji bapa-bapa kita.
“Saya hanya teruskan kerana bagi saya pimpinan itu mesti melaksanakan dan memperkota janji mereka,” katanya.
Anwar berkata perkara yang masih rumit perlu diselesaikan menerusi rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri secara baik.
“Kalau hal rumit, berunding. Saya tidak kata itu automatik. Harus berunding, bicara sebagai sahabat.
“Saya lihat ini bukan soal Semenanjung lawan Sarawak, atau Sabah lawan Semenanjung, tidak,” ujarnya.
Beliau berpendapat pendekatan itu penting bagi memastikan pelaksanaan MA63 terus berpaksikan semangat asal pembentukan Malaysia serta kepentingan bersama seluruh rakyat.
Anwar sebelum itu menjelaskan bahawa Waad Nasional merujuk kepada ikrar, janji dan sumpah untuk mengekalkan negara dengan memastikan ia bersifat inklusif, menegakkan keadilan serta menjamin kesejahteraan semua.
Oleh Masrin Affirah




