
SONG: Program Sembang Santai Komuniti MADANI diadakan di Rumah Limbi Jambar, Nanga Temalat baru-baru ini berjaya menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat dasar kerajaan kepada rakyat.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Song ini diketuai oleh Pegawai Penerangan Daerah Song, Joseph Laga, yang turut mengetuai pelaksanaan keseluruhan program yang berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh dengan pengisian.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan di kawasan lain untuk memastikan tiada komuniti yang terpinggir dalam arus pembangunan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Antara agensi kerajaan yang turut serta adalah Pejabat Bomba dan Penyelamat Daerah Song, yang berkongsi maklumat berkenaan keselamatan kebakaran serta tindakan kecemasan yang perlu diambil oleh penduduk.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Song pula memberikan penerangan mengenai isu-isu kesihatan awam dan penjagaan diri di kalangan komuniti luar bandar.
Program ini juga mendapat sokongan padu daripada Ahli Jawatankuasa Kampung (AJK) Nanga Temalat yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan serta memastikan kehadiran penduduk setempat.
Pendekatan ‘sembang santai’ yang digunakan memberi peluang kepada penduduk untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan, menyuarakan pandangan serta kebimbangan mereka berkenaan isu-isu semasa.
Oleh Tarani Lanting