MIRI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 2 November lalu diteruskan, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie berkata anggota SAR menjalankan operasi di sekitar jalan di kawasan Subis menggunakan kenderaan kerana lokasi mangsa yang hilang tidak dapat dipastikan.
“Turut terlibat ialah sembilan anggota polis Miri, enam anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua anggota RELA dan sepuluh penduduk kampung.
“Mangsa dilaporkan hilang setelah keluar dari rumah pada 2 November lalu dan laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga di Balai Polis Bekenu,” jelasnya.
Difahamkan lelaki berusia 39 tahun itu berasal dari Kampung Beraya Batu 1, Miri dan perlu melaporkan diri ke pejabat AADK pada 5 November lalu, namun tidak balik ke rumah hingga sekarang.
“Dia keluar rumah menggunakan pakaian lengan panjang berwarna hitam, seluar pendek berbunga dan berselipar.
“Pasukan yang terlibat dalam operasi SAR lelaki hilang diberi taklimat di Dewan Serbaguna Kampung Beraya Batu 1, Miri hari ini,” katanya.
Oleh Adum Liu